KENALI PENYAKIT ULSER PEPTIK ATAU USUS
facebook bondasha
PERUT kita mengeluarkan sejenis asid yang boleh menghakis untuk membantu penghadaman makanan dan mencegah jangkitan. Dengan pH dari dua hingga tiga, pengeluaran asid secara berlebihan boleh merosakkan perut.
Tetapi kita bernasib baik kerana perut kita mempunyai lapisan penghalang yang melindunginya daripada asid. Namun, apabila terdapat luka pada lapisan perut atau duodenum (bahagian permulaan usus kecil) kita, ini bermakna kita mengalami ulser peptik.
Jika anda mengalami ulser peptik, besar kemungkinan anda memperlihatkan sesetengah daripada gejala berikut:
Punca ulser peptik
Kopi, buah-buahan sitrus dan makanan berempah dikatakan punca ulser peptik. Tetapi itu tidak benar. Makanan tersebut hanya memburukkan gejala ulser peptik dan boleh melambatkan proses penyembuhan dalam rawatan ulser. Sebaliknya, alkohol, rokok dan stres atau tekanan boleh meningkatkan pengeluaran asid meskipun ia tidak semestinya mengakibatkan penyakit ulser peptik.
Punca sebenar penyakit ulser peptik termasuk beberapa kelas ubat tertentu, seperti ubat pelega kesakitan, dan paling penting sekali, jangkitan helicobacter pylori. Pengambilan secara berterusan beberapa kelas ubat pelega kesakitan seperti aspirin dan ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs) seperti ibuprofen dan diklofenak boleh merosakkan lapisan perut.
Aspirin dan NSAID adalah antara punca yang paling biasa dikaitkan dengan penyakit ulser peptik walaupun ia mudah dibeli dari kaunter. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ubat-ubatan ini adalah antara yang paling banyak digunakan di seluruh dunia dan sangat berkesan bila digunakan dengan betul. Namun, ia membawa kesan sampingan. Doktor perlu berhati-hati apabila memberi preskripsi dan orang ramai juga perlu berwaspada apabila mengambil ubat ini.
Bagaimanapun, punca utama penyakit ulser peptik ialah jangkitan Helicobacter pylori (H.pylori).
Apakah helicobacter pylori?
H.pylori adalah bakteria berbentuk pilin yang hidup dalam lapisan mukus bersebelahan lapisan gastrik. H.pylori unik dan mempunyai beberapa ciri yang membantunya hidup dalam persekitaran berasid yang sepatutnya memudaratkan. Orang yang dijangkiti H.pylori mungkin tidak memaparkan sebarang tanda sungguhpun kebanyakan mereka akan mengalami gejala gastrik, ulser peptik atau akhirnya kanser gastrik.
H.pylori ditemui pada 1982 oleh Warren dan Marshall di Perth, Australia. Penemuan mereka telah membawa revolusi dalam rawatan penyakit ulser peptik. Kini, kita tahu bahawa H.pylori adalah punca utama ulser peptik dan jika tidak ubati, penyakit ini boleh berulang.
Apa yang menyebabkan H. pylori dan bagaimana ia merebak masih tidak diketahui. Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa bakteria ini boleh disebarkan melalui najis dan mulut (makanan atau air yang dicemari najis). Ia juga boleh disebarkan dari seseorang kepada orang lain melalui mulut (kucupan atau pendedahan kepada muntah yang mengandungi H.pylori).
Siapa dijangkiti helicobacter pylori
Di Kuala Lumpur, 22.5 peratus daripada 1003 pesakit yang mengalami dispepsia (sakit abdomen) antara tahun 2002 dan 2003 disahkan dijangkiti H.pylori. Sepuluh tahun dahulu, bilangan keseluruhan jangkitan H.pylori di Malaysia hampir dua kali ganda angka pada 2002/2003. Laporan menunjukkan bahawa daripada 22.5 peratus yang dijangkiti H.pylori, 30 peratus adalah India, 21 peratus Cina dan 12 peratus Melayu. Ini menunjukkan keturunan mungkin menjadi satu faktor dalam penularan H.pylori.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, kira-kira dua pertiga daripada penduduk dunia dijangkiti H.pylori.
Rawatan
Rawatan adalah untuk menyembuh ulser peptik dan mencegah punca penyakit. Gastroskop perlu digunakan untuk menghentikan pendarahan dalam ulser peptik. Puncanya kemudian dikenal pasti dan ditangani.
Sebagai contoh, jika ulser adalah disebabkan pengambilan NSAID, maka tindakan menghentikan pengambilan ubat ini dapat mencegah penyakit berulang. Bagi penyakit ulser peptik yang dikaitkan dengan H.pylori, kombinasi dua antibiotik dan proton pump inhibitor (ubat untuk menyekat pengeluaran asid) biasanya disyorkan untuk tujuh hari. Dua antibiotik yang biasa digunakan adalah amoxycillin dan clarithromycin.
Dengan kaedah rawatan terkini, kita dapat mencapai kira-kira 80 peratus kejayaan dalam usaha menghapuskan jangkitan H.pylori. Selepas rawatan ini, pesakit akan dinasihatkan untuk menjalani ujian nafas urea atau mengulangi prosedur endoskopi (bagi pesakit ulser perut) selepas enam hingga lapan minggu untuk memastikan kejayaan rawatan menghapuskan H.pylori. Pesakit yang gagal menghapuskan jangkitan bakteria ini sudah tentu akan diberi rawatan pusingan kedua menggunakan kombinasi ubat lain, lazimnya kombinasi empat ubat. Penggunaan antibiotik yang sama tidak berkesan.
Komplikasi helicobacter pylori
Selain jangkitan ulser peptik, H.pylori boleh juga menyebabkan komplikasi lain. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan gastritis, iaitu keradangan lapisan perut dan lebih buruk lagi, kanser perut. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan H.pylori sebagai karsinogen Kelas 1 (kuman punca kanser) pada 1994. Kegagalan untuk menghapuskan H.pylori boleh meningkatkan enam kali ganda risiko kanser gastrik.
Semua jangkitan H.pylori mesti dihapuskan untuk mencegah ulser peptik berulang dan lebih penting lagi, untuk mencegah kanser perut. Rawatan untuk ulser peptik bukan sahaja mudah diperolehi tetapi juga tidak terlalu mahal dan sangat berkesan.
Pesakit yang mengambil NSAID atau aspirin secara tetap (selalunya pesakit artritis atau pesakit jantung) patut memeriksa status H.pylori mereka. Usaha menghapuskan H.pylori sebelum memulakan pengambilan NSAID atau aspirin, banyak membantu mengurangkan risiko penyakit ulser peptik.
Pencegahan
Tiada cara yang pasti dan mudah untuk mencegah H.pylori kerana belum ada vaksin untuk melindungi kita daripada bakteria ini. Justeru itu, sentiasa jaga kebersihan peribadi dan sanitasi. Anda juga boleh menjalani pemeriksaan atau ujian H.pylori jika anda berada di kawasan yang banyak berlaku jangkitan H.pylori dan kanser gastrik untuk mencegah kanser.
Jika anda mengalami gejala yang menandakan penyakit ulser peptik, jumpa doktor anda segera. Sekiranya anda mendapat jangkitan H.pylori, anda patut menerima rawatan yang sewajarnya untuk menghapuskan jangkitan ini.
Dr. Tan Huck Joo adalah presiden Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia. Sebagai penulis rencana ini, beliau tidak menyokong dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang jenama atau produk.
Rencana ini adalah sumbangan Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia
HUBUNGI SHA UNTUK NASIHAT KESIHATAN ANDA : 0123385506
No comments:
Post a Comment