Punca Penyakit Jantung - Adakah Kolesterol?
Penyakit jantung; seperti penyakit jantung koronari, serangan jantung, kegagalan jantung kongestif dan penyakit jantung kongenital, adalah pembunuh nombor satu di Malaysia. Bilangan kematian akibat penyakit jantung di hospital Kerajaan pada tahun 2005 adalah 5,247 orang. Kita sering diingatkan bahawa paras kolesterol yang tinggi merupakan punca penyakit jantung. Seperti saya, anda juga tentu percaya bahawa punca penyakit jantung adalah kolesterol.
Kolesterol dan Penyakit Jantung
Kita tahu bahawa kolesterol HDL adalah baik dan kolesterol LDL tidak baik. Kita juga tahu bahawa kolesterol LDL akan terkumpul di dinding arteri dan menyebabkan penyempitan pembuluh darah. Namun ianya akan dibersihkan oleh kolesterol HDL. Semakin rendah nisbah antara jumlah kolesterol berbanding kolesterol HDL, semakin rendah risiko kita untuk mendapat penyakit jantung.
Kolesterol LDL sebenarnya bukan tidak baik, dalam keadaan asal ia baik. Badan kita memerlukannya untuk membina membran sel, sel yang lain dan berbagai-bagai hormon. Sekiranya kita tidak mendapat cukup kolesterol LDL daripada makanan, badan kita sendiri akan membuatnya. Yang menjadi masalah adalah kehadiran radikal bebas, yang menukar bentuk (mengoksida) kolesterol LDL dan menjadikannya tidak baik. Bekalan anti-oksidan yang cukup akan menyelesaikan masalah tersebut. Anda tidak memerlukan ubat yang mahal untuk menurunkan paras kolesterol bagi menurunkan risiko mendapat penyakit jantung.
Penyebab Sebenar Penyakit Jantung
Anda mungkin terkejut atau tidak percaya jika saya katakan kolesterol bukan penyebab utama penyakit jantung. Mengikut kajian, penyebab sebenar penyakit jantung adalah radang pembuluh darah. Kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine keluaran 23 Mac 2000, menunjukkan lebih separuh daripada mereka yang mendapat serangan jantung mempunyai paras kolesterol yang normal. Penemuan ini merupakan satu revolusi dalam rawatan dan pencegahan penyakit jantung. Daripada berusaha untuk menurunkan paras kolesterol, anda sepatutnya mencari jalan untuk mengurangkan punca yang menyebabkan radang pembuluh darah. Cara ini boleh memberi kesan besar dalam pencegahan dan pemulihan penyakit jantung.
Kolesterol LDL bukanlah penyebab masalah radang pembuluh darah. Punca utama radang pembuluh darah adalah sesuatu yang dipanggil homosistein dan radikal bebas. Masalah hanya akan timbul apabila kolesterol LDL dioksida oleh radikal bebas. Tanpa radikal bebas, kolesterol LDL tidak akan bertukar menjadi tidak baik. Homosistein adalah bahan yang terhasil ketika tubuh kita menghadam makanan, sama seperti radikal bebas. Masalah akan timbul apabila jumlah homosistein yang dihasilkan adalah berlebihan. Dianggarkan lebih kurang 15% dari semua serangan jantung dan strok di seluruh dunia hari ini disebabkan oleh paras homosistein dalam darah yang tinggi.
Homosistein dan Penyakit Jantung
Pada tahun 1990, kajian oleh Profesor Dr. Stampfer daripada Harvard Public Health School mendapati bahawa sedikit sahaja peningkatan paras homosistein boleh menyebabkan peningkatan risiko mendapat penyakit jantung sebanyak tiga kali ganda. Di dalam New England Journal of Medicine keluaran Februari 1995 pula, Dr. Jacob Selhub, Ph.D., melaporkan bahawa paras homosistein dalam darah yang tinggi akan meningkatkan risiko penyempitan dua arteri yang membekalkan darah ke otak (yang akan menyebabkan strok). Selain daripada itu Dr. Selhub juga melaporkan bahawa pesakit yang mempunyai paras homosistein yang tinggi juga mempunyai paras asid folik (B9), vitamin B12 dan vitamin B6 yang rendah dalam tubuh mereka. Satu penemuan yang perlu diberi perhatian.
Pencegahan Penyakit Jantung
Sebelum ini dipercayai bahawa punca penyakit jantung dan strok adalah kolesterol, tetapi kajian-kajian yang dijalankan di abad ke 21 telah membuktikan bahawa homosistein merupakan puncanya. Untuk mencegah daripada mendapat penyakit jantung, kita dinasihatkan untuk mengubah gaya hidup. Pengambilan makanan seimbang dan melakukan aktiviti fizikal dapat membantu tubuh kita mendapat HDL (kolesterol baik), anti-oksidan, asid folik (B9), vitamin B12 dan vitamin B6 yang cukup, yang akan melindungi kita daripada penyakit jantung.
No comments:
Post a Comment